Selamat Hari Kita yang ke-6


15 Februari 2026

Tahun keenam kita bersama.

Tarikh ini masih terasa keramat,

bukan kerana angka,

tetapi kerana sabar dan setia yang kita genggam sama-sama.


Enam tahun menerima kekurangan dan kelebihan,

belajar memahami tanpa banyak soal,

belajar mencintai tanpa syarat yang rumit.


Tahun ini genap enam tahun,

dan kita masih belum lengkap di mata dunia.

Masih berdua,

masih menunggu takdir yang belum tertulis untuk kita.

Belum lagi menjadi rezeki kita.


Aku bersyukur, sungguh.

Namun aku juga manusia biasa.

Perempuan mana yang tidak terusik hatinya

saat melihat yang lain mendakap anak kecil di sisi?

Sehabis daya aku menyorokkan rasa,

menidakkan cemburu yang sesekali hadir,

kerana aku tahu

apa yang belum diberi bukan bermakna tidak akan ada.

Ia cuma belum tiba waktunya.


Buat suamiku,

terima kasih kerana tidak pernah mempersoalkan soal anak.

Tidak pernah menyalahkan takdir,

tidak pernah menyalahkan aku.


Terima kasih kerana terus sabar,

kerana terus menyayangi dengan caramu sendiri

tenang, diam, tetapi cukup terasa.


Jika suatu hari Tuhan titipkan kita zuriat,

aku akan bersyukur.

Jika pun tidak,

aku tetap mahu berjalan di sampingmu,

kerana bahagia itu bukan semata-mata pada lengkapnya keluarga,

tetapi pada hati yang saling menjaga.


Enam tahun,

dan aku masih memilih kamu

setiap hari.



Ikhlas dari hati,
SN

Comments

Popular Posts