Langkah Yang Pernah Hilang
Pernah satu waktu
aku berjalan terlalu jauh,
mengejar dunia
seolah-olah di situlah
segala bahagia bersembunyi.
Hari-hari berlalu
dengan tawa yang dibuat-buat,
senyuman yang dipaksa,
dan hati yang semakin kosong
tanpa aku sedari.
Aku kenal ramai manusia,
namun semakin ramai yang hadir,
semakin sunyi rasanya jiwa ini.
Ada malam
aku pulang dengan hati yang letih,
duduk diam memandang langit,
dan untuk pertama kali
aku sedar
aku sudah lama tidak benar-benar
berbicara dengan-Mu.
Aku rindu, ya Ilahi.
Rindu pada tenang
yang dulu aku rasakan
ketika dahi ini menyentuh sejadah.
Rindu pada air mata
yang jatuh dalam doa
tanpa rasa malu.
Aku bukan hamba yang kuat,
langkahku sering tersasar,
hatiku sering leka
dengan dunia yang sementara.
Tetapi di sebalik semua itu
aku tahu satu perkara
Engkau tidak pernah menutup pintu
untuk hamba yang ingin pulang.
Hari ini
aku tidak membawa apa-apa
selain hati yang penat
dan jiwa yang ingin diperbaiki.
Jika Engkau masih sudi menerima,
biarkan aku kembali perlahan-lahan
ke jalan yang pernah aku tinggalkan.
Kerana akhirnya aku faham,
setinggi mana pun aku mencari dunia,
ketenangan sebenar
hanya ada
pada rindu seorang hamba
kepada Tuhannya.
Ikhlas Dari Hati,
SN
- Get link
- X
- Other Apps


Comments
Post a Comment