Karma

Kita ini manusia,
tapi ada yang terlalu mudah dengan kata-kata
seolah-olah tidak pernah belajar diam,
melempar seribu bicara
tanpa sempat menimbang dosa dan akibatnya.

Waktu itu,
kau tutup mata pada kebenaran yang jelas di depan kau.
Apa yang nyata kau tolak mentah-mentah,
apa yang datang dari aku
kau anggap sekadar dusta yang direka.

Aku pergi tanpa banyak suara,
bukan kerana kalah,
tetapi kerana aku sedar
tidak semua kebenaran layak diperjuangkan
di hadapan ego yang menolak untuk mendengar.

Namun kau lupa satu hal kecil,
bahawa setiap luka yang kau tanam
tidak pernah benar-benar hilang begitu sahaja.

Hari demi hari berlalu,
satu demi satu kebenaran mula terbuka tanpa dipaksa.
Apa yang dulu kau ketepikan
kini berdiri tepat di hadapan kau sendiri
tanpa boleh lagi kau sembunyikan di belakang alasan.

Dan kau masih di situ,
masih berpaut pada versi kau sendiri,
walau realiti sudah lama berubah wajah.

Aku hanya memerhati dari jauh,
kerana aku sudah tidak perlu lagi menjelaskan apa-apa.
Kebenaran akhirnya tahu jalan pulang sendiri.

Hampir setahun berlalu,
dan perlahan-lahan kau mula merasai kembali
apa yang dulu kau lepaskan pada orang lain.
Bezanya sekarang
tiada siapa lagi yang boleh kau jadikan tempat bersandar untuk menafikan segalanya.

Aku tidak ketawa.
Aku tidak menang.
Aku hanya diam…
kerana karma tidak pernah tersilap alamat.

Duhai kau,
semoga akhirnya kau belajar satu perkara yang mahal
bahawa setiap kata yang kau lepaskan,
tidak pernah hilang di udara kosong,
ia hanya menunggu masa
untuk kembali kepada pemiliknya.

Ikhlas Dari Hati,
SN

Comments

Popular Posts