MySpace : Bila Profile Kita Benar-Benar Rumah Kedua
Korang, cuba ingat balik zaman sebelum Instagram aesthetic, sebelum TikTok FYP, sebelum LinkedIn sombong-sombong. Zaman di mana kita bangun pagi, bukak komputer desktop yang loading lama gila, tunggu dial-up Internet berbunyi ngiiiiing... kroook... tzzzzzzzz ... lepas tu baru boleh masuk MySpace. Dan waktu tu, profile MySpace kita bukan sekadar profile. Ia adalah rumah kedua kita. Rumah yang kita design sesuka hati, letak lagu kegemaran, dan kat situ jugak kita pilih nak letak siapa bestfren kita..
Pernah tak kau ingat, demi nak update status ke, nak reply komen ke, atau sekadar nak tukar lagu dalam profile, kau sanggup lepak berjam-jam di cyber cafe? Padahal duit belanja sekolah kau simpan sikit-sikit, cukup-cukup untuk bayar satu jam dua jam. Sampai abang kedai tu dah kenal muka kau. "Eh, budak ni datang lagi." Kau senyum malu, bayar RM2, terus duduk di depan komputer dengan aircond yang sejuk gila tapi kau tak kisah. Sebab dalam kepala kau, kau kena update juga profile kau hari ni. Letak mood "excited" sebab esok ada cuti. Atau tukar lagu dari "In Too Deep" kepada "Sugar, We're Goin Down". Atau sekadar nak tengok siapa je yang dah tinggalkan komen sejak semalam. Benda remeh, tapi kau rasa penting sangat.
Sebab apa MySpace lain daripada yang lain? Sebab dia bagi kita kebebasan. Bukan kebebasan macam politik atau apa, tapi kebebasan untuk jadi hodoh, jadi bersepah, jadi extra. Kau boleh letak background warna hitam dengan tulisan pink, cursor jadi bintang, ada glitter animation sana sini, bahkan letak lagu auto-play bila orang visit. Kadang profile jadi sangat bersepah sampai kau sendiri pening nak baca apa-apa. Tapi takpe, itu charm dia. Dan kelakarnya, ramai anak muda zaman tu belajar HTML dan CSS secara tak langsung semata nak buat profile lawa, kau kena belajar coding sikit-sikit. Jadi geng-geng yang dulu suka mengarang profile MySpace, sekarang mungkin dah jadi web developer, tanpa sedar masa tu mereka sedang berlatih.
Satu lagi yang paling orang ingat iaitu lagu autoplay. Setiap profile ada player, dan bila orang bukak profile kau, lagu akan main dengan sendirinya. Sama ada kau suka atau tak, terpaksa dengar. Ramai yang letak lagu Fall Out Boy, My Chemical Romance, Panic! at the Disco, atau lagu Melayu indie zaman tu. Dan kalau kau bukak profile zaman tu dalam kelas? Malu-malu kucing, sebab lagu tiba-tiba bising. Kawan-kawan gelak, cikgu tengok, tapi kau tetap cool sebab lagu tu mewakili jiwa remaja kau.
Kemudian ada ruangan komen. Macam wall Facebook sekarang, tapi lebih meriah. Orang boleh tinggalkan komen kat profile kau, kadang-kadang panjang berjela macam surat cinta, kadang-kadang cuma "hey sup" atau "nice profile! love the song!" Yang kelakarnya, ada user yang sibuk spam komen dengan gambar-gambar glitter dan GIF animation dengan rumput menari-nari, bintang berkelip-kelip, hati berdenyut-denyut. Rasa macam profile kau jadi christmas tree berjalan.
Lepas tu ada bulletins. Ini macam status update version lama, tapi lain sikit. Kau boleh tulis apa-apa, lepas tu semua kawan kau akan nampak dah macam broadcast message. Biasanya orang guna bulletins untuk suruh orang rate profile diorang, post quiz macam "what does your birth month say about you?", meroyan pasal crush tak reply komen, atau share link lagu baru. Dan semua bulletins keluar dalam chronological order, takde algoritma pilih-pilih macam sekarang. Jadi kalau kau online lambat, kau akan nampak semua bulletins dari awal sampai kau penat scroll. Tapi penat tu penat yang best, sebab kau rasa connected dengan semua orang.
Bagi pemuzik dan peminat muzik, MySpace dulu adalah syurga. Sebab banyak artis terkenal mula dari MySpace like Arctic Monkeys, Lily Allen, T-Pain, Soulja Boy. Diorang post demo lagu, dapat followers, lepas tu jadi superstar. Bagi pemuzik indie, MySpace adalah tempat wajib. Kau boleh buat profile untuk band kau, upload lagu, bagi orang dengar, dapat gig, jumpa label. Hari ni semua dah pindah ke Spotify, SoundCloud, TikTok. Tapi MySpace dulu the original tempat artis dan fans really connect dan bukan sekadar streaming, tapi betul-betul berinteraksi.
Selain tu, ada groups. Macam subreddit version MySpace. Orang boleh buat group untuk apa saja fans band tertentu, orang yang suka anime, penggemar drama TV, atau sekadar "People Who Hate Brussels Sprouts". Lepas tu orang dari seluruh dunia boleh join, borak dalam forum, share gambar. Rasanya lebih tulen daripada group Facebook sekarang, sebab takde spam, takde bot, takde admins yang gila kuasa. Cuma orang-orang yang sama minat, berkumpul jadi satu.
MySpace pun ada platform video sendiri, namanya MySpaceTV sebelum YouTube lagi famous. Boleh upload video, share, embed. Diorang ada Flash player yang support full-screen dan HD, cukup hebat untuk zaman tu. Ramai content creators mula dari sini. Tapi lepas YouTube makin besar, MySpaceTV kalah perlahan-lahan. Tapi sejarah tetap sejarah dan diorang antara yang pertama.
Kemudian ada mood dan status updates. Simple je then kau boleh set current mood macam "happy", "sad", "annoyed", "loved", atau "hungry" padahal tengah diet. Dan status macam "at school", "at home", "with friends". Zaman tu rasa cool gila. Orang boleh tahu kau tengah sedih tanpa kau perlu explain panjang. Sekarang? IG story dan FB status dah lebih canggih, tapi takde charm yang sama. Sebab dulu kita set mood sebab kita feel benda tu. Sekarang kita post story sebab nak orang notice.
Dan satu lagi yang tak boleh dilupakan, Tom. Setiap pengguna MySpace datang dengan satu friend dah siap ada dalam senarai. Namanya Tom Anderson, co-founder MySpace sendiri. Dia muka default yang senyum dalam profile picture putih, dan dia akan hantar mesej "welcome to MySpace!"
Around tahun 2008, MySpace pun ada mobile app untuk iPhone. Boleh upload gambar terus dari phone, check messages, update status. Ciri macam basic je ikut standard sekarang, tapi zaman tu memang advance gila. Sebab tak semua orang ada smartphone. Tapi MySpace dah prepare untuk masa depan. Sayang... lambat sikit.
Tapi apa sebenarnya yang kita rindu?
Bukan cuma feature tu semua. Bukan juga sekadar kenangan lepak di cyber cafe menghabiskan duit belanja semata-mata nak update status. Tapi rindu pada rasa freedom dan authenticity. Zaman MySpace, orang tak sibuk nak build personal branding. Takde influencer, takde paid partnership, takde engagement bait. Kita letak lagu kita suka walaupun orang lain benci. Kita design profile kita gila-gilaan walaupun orang kata sakit mata. Itulah kita. Takde orang cakap "eh profile kau tak aesthetic". Takde orang cakap "kau kena konsisten dengan warna". Takde orang cakap "jangan post sangat nanti orang bosan".
Sekarang? Semua orang nampak sama. White background. Profile picture tersusun. Stories diplomatik. Caption dah kira berapa engagement yang akan dapat.
Mungkin bukan media sosial yang berubah. Tapi kita yang dah terlalu takut untuk jadi messy dan real.
Aku tak kata MySpace perfect. Loading lambat. Sometime server down. Orang boleh hack profile kau kalau kau letak HTML sembarangan. Tapi sekurang-kurangnya, di situlah kita belajar apa ertinya mempunyai ruang sendiri di internet dan bukan untuk jadi famous, bukan untuk dapat likes, tapi untuk jadi kita. Dan kau sanggup lepak cc berjam-jam, korbankan duit belanja, semata-mata kerana kau rasa rumah digital kau tu penting. Kerana di situ ada lagu kau, ada komen dari kawan-kawan kau, ada mood yang kau pilih sendiri, ada Tom yang sentiasa jadi kawan tanpa syarat.
Jadi untuk kau yang baca ni, pergilah tengok balik gambar-gambar lama kau. Mungkin ada screenshot profile MySpace yang kau simpan dulu. Senyum sikit. Rindukan budak yang dulu berani letak lagu emo walaupun kawan-kawan kata "cheh, sedih-sedih je". Rindukan saat-saat kau duduk di depan komputer cyber cafe, jari laju menaip kod HTML, mata berkilat melihat profile kau jadi hodoh tapi kau bangga. Sebab budak tu, sebenarnya lebih bahagia daripada kita sekarang.
Ikhlas Dari Hati,
SN
.jpg)

Comments
Post a Comment